KORBAN 1441H / 2020M

10 Hari Pertama Bulan ZulHijjah dan Amalan-Amalan Sunnah

Kelebihan 1-10 Zulhijjah: 

  • Firman Allah SWT: “Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh (1-10 Zul Hijjah)” (Al-Fajr: 1).

  • Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu” (Riwayat al-Bazzar) 

Amalan-amalan yang digalakkan:

1. Zikir (Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahu Akbar). Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu”. (Al-Hajj: 28)

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

2. Puasa: Umat Islam yang tidak menunaikan fardhu Haji amat digalakkan untuk berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah

Tarikh 9 Zulhijjah iaitu Hari Arafah pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. 

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah” (Riwayat Muslim). Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. 

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada satu amal sholeh yang lebih dicintai Allah SWT melebihi amal sholeh yang dilakukan pada hari-hari ini (yaitu 10 hari pertama bulan Dzulhijjah).” Para sahabat bertanya: “Tidak pula jihad di jalan Allah SWT?” Rasulullah SAW menjawab, “Tidak pula jihad di jalan Allah SWT, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya namun tidak ada yang kembali satupun.” (Tirmizi)

4. Bertakbir. Permulaan takbir raya bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah (9 Zul Hijjah) sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq
(13 Zul Hijjah).

5. Berkorban. Nabi SAW bersabda: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)”. (At-Tirmidzi dan Abu Daud)

Amalan Sunnah Bagi Orang Yang Sudah Berniat Untuk Melakukan Korban

Seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukan korban digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku.

Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang ingin menyembelih (korban), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban itu dilaksanakan” (Riwayat Muslim)

Majoriti ulama menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya. Bagaimanapun ia tidaklah termasuk dalam kategori haram. Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain ibadah yang wajib.